Piala Presiden 2010..... debaran kian terasa
Skuad Zagazig akan menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden PMRAM 2010.Skuad Zagazig yang dibentuk pada masa kini merupakan transformasi era baru bagi arena bola sepak mahasiswa Zagazig.Prestasi Skuad Zagazig beberapa tahun kebelakangan ini adalah yang terbaik sepanjang 17 tahun kewujudan DPMZ
.Ianya bermula pada 2007 apabila Skuad Zagazig mara ke suku akhir sebelum tewas melalui sepakan penalti kepada Tanta.Skuad Zagazig meneruskan kejutan pada Piala Presiden 2008 di Padang Abbasiyyah, Kaherah apabila mara ke perlawanan Akhir sebelum tewas kepada Skuad Singa Al-Quran, Shoubra 0-2 melalui ledakan gol daripada ayam tambatan mereka Fathi Yakan. Skuad Zagazig juga mara ke Suku Akhir Piala Presiden 2009 yang diadakan di tempat sendiri sebelum tewas kepada Shoubra 1-2.Fakta menunjukkan Skuad Zagazig telah memberikan tentangan sengit kepada pihak lawan.Arena bola sepak mahasiswa Mesir sering dikuasai oleh beberapa pasukan hebat seperti Mansurah, Tanta, Shoubra dan Terengganu.Pasukan-pasukan ini sering menjadi pilihan juara kerana kehebatan pemain mereka serta perancangan taktikal.
Edisi 2010
Piala Presiden 2010 bakal menjanjikan pertarungan yang lebih sengit kerana diberitakan kebanyakan pasukan membuat persediaan awal untuk menghadapi kejohanan ini berbeza pada tahun-tahun sebelumnya.Pasukan-pasukan dari Kaherah yang sebelum ini dilihat hanya "menyertai" kejohanan ini sedang membuat pemilihan pemain, latihan serta siri perlawanan persahabatan.Selain itu, pasukan-pasukan Kaherah turut mengumpul ahli-ahli dari muhafazah untuk menguatkan jentera pasukan masing-masing.
Pasukan
Berikut adalah pasukan yang selalu menyertai Piala Presiden :
Pasukan Kaherah (BKAN) :
1)Perlis
2)Kedah
3)Perak
4)Pulau Pinang
5)Kelantan (Juara Piala Malaysia 2009)
6)Terengganu (Juara Piala Sumbangsih 2009)
7)Pahang (Naib Juara Piala Presiden 2009)
8)Selangor
9)Negeri Sembilan
10)Johor
11)Melaka
12)Sabah
13)Sarawak (Kali terakhir menyertai edisi 2008)
Pasukan Muhafazah (DPM) :
1)Zagazig
2)Mansurah (Naib Juara Piala Malaysia 2009)
3)Dumyat
4)Shibin El-Kom
5)Tanta (Juara Piala Presiden 2009)
6)Damanhur
7)Iskandariah (Unit Mutazawwijin Iskandariah)
8)Shoubra
Pasukan jemputan :
1)Singapura (Pemenang Anugerah Fair Play Piala Presiden 2009)
2)Brunei Darussalam
3)Kemboja (mula menyertai pada edisi 2008)
Skuad Majmuk
Tidak banyak pasukan yang membariskan pemain yang terdiri dari pelbagai latar belakang negeri serta pengajian berbeza.Akan tetapi, Skuad Zagazig dan Mansurah telah membuktikan gabungan mahasiswa yang mempunyai perbezaan tersebut boleh membentuk kerjasama terbaik di padang.Skuad Mansurah umpamanya telah berjaya membentuk pasukan yang terdiri dari mahasiswa Pengajian Islam dan Perubatan yang kemudiannya telah menggegarkan arena bola sepak mahasiswa Mesir.Skuad Zagazig juga tidak ketinggalan apabila Syamsul Bakri menjadi antara pemain terawal dari mahasiswa Perubatan yang bermain di posisi pertahanan sekitar 2007-2009.Sesungguhnya, ukhuwwah Islamiah dapat diterapkan melalui kerjasama para pemain dan sikap bertolak-ansur di padang.
Persoalan
Timbul persoalan di kalangan ahli DPMZ sama ada Skuad Zagazig dapat meneruskan kegemilangan tanpa beberapa nama yang kini tidak lagi bermain dengan Skuad Zagazig seperti Khairulaizam Abdul Rahman (tamat pengajian), Ahmad Shah Abd Rani (kemungkinan bermain dengan pasukan lain) dan Syamsul Bakri Osman (cedera).Skuad Zagazig bakal dibarisi pemain dari kalangan generasi baru.Bebanan ini mesti dipiklul oleh Us Muhd Maarof Yusof selaku pengurus pasukan.Para penyokong sudah tentu mengharapkan persembahan terbaik daripada Skuad Zagazig tidak kira menang atau kalah.Setiap peluang yang terhidang perlu dimanfaatkan oleh para pemain untuk menuju kejayaan.
Ukhuwwah Islamiah
DPMZ berharap para pemain Skuad Zagzig tidak melihat kemenangan sebagai matlamat utama akan tetapi menjalin silaturrahim di padang lebih utama dari kemenangan.Kemenangan adalah satu catatan abadi tetapi harus diingat ukhuwwah Islamiah membentuk peribadi tunduk kepada Ilahi (Allah).Para pemain harus meneguhkan ukhuwwah sesama ahli pasukan sendiri serta sesama ahli pasukan lain.Sesungguhnya, mengeratkan persaudaraan itu adalah lebih utama nilainya di sisi Allah.Firman Allah Taala :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara"
No comments:
Post a Comment